• Exam Unit Register

KATA-KATA ALUAN

YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan PICOMS sebagai anak syarikat milik penuh MAIWP, kerana telah menggerakkan transformasi yang ketara bermula pada tahun 2010 dengan kemasukan pelajar-pelajar baru Diploma Farmasi, Diploma Sains Perubatan, Diploma Fisioterapi, Diploma Pembantu Perubatan dan Diploma Sains Kesihatan Persekitaran, selain dari Diploma Sains Kejururawatan yang sediada. Ini merupakan satu manifestasi kepada budaya inovasi yang dilaksanakan oleh PICOMS. Kalau kita hendak berjaya, maka perlu ada perubahan, ini sangat penting difahami kerana perubahan, penyesuaian dan pertumbuhan perlu ada untuk memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah di dalam era baru pendidikan dan penjagaan kesihatan.  Budaya perubahan ini juga adalah salah satu dari tiga teras utama agenda kerajaan dibawah Government Transformation Programme (GTP), iaitu BUDAYA INOVASI DALAM PERKHIDMATAN.


Justeru itu apabila Kolej ini mempunyai pengurusan baru pada tahun 2010, saya telah meminta mereka untuk membuat satu transformasi yang berterusan bagi memenuhi keperluan ini. Maka pengurusan telah membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan perubahan dengan lahirnya PICOMS. Ini amat sesuai dengan konsep change management yang terkandung gesaannya di dalam Surah al-Anfaal ayat 58: 

 

ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَى قَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَأَنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

Susulan dari usaha pengembangan PICOMS, MAIWP telah membeli satu bangunan 4 tingkat di Mukim Batu sebagai kampus baru yang boleh menempatkan kira-kira 2000 orang pelajar. Seterusnya, MAIWP juga telah membiayai kos kerja pengubahsuaian bangunan 7 tingkat, Bangunan Baitulmal di Jalan Ipoh dalam usaha bagi menampung lebih ramai lagi kemasukan pelajar kejururawatan, dengan menyediakan segala kemudahan untuk pembelajaran seperti yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia  dan Lembaga Jururawat Malaysia. MAIWP akan membantu pelajar yang terdiri dari golongan asnaf, sama ada menampung sebahagian dari yuran pengajian melalui pemberian biasiswa ataupun bantuan-bantuan khas kewangan bagi mengurangkan beban sara hidup pelajar yang terdiri dari golongan asnaf tersebut.


Semua ini dilakukan sebagai memenuhi sebahagian dari tujuan dan matlamat penubuhan MAIWP, iaitu memastikan bahawa wang zakat yang diberikan oleh pemberi zakat dalam kawasan Wilayah Persekutuan digunakan untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan bagi melanjutkan pelajaran peringkat Diploma & Ijazah. Dengan wang pemberian zakat yang kita gunakan untuk membantu pelajar-pelajar golongan asnaf PICOMS serta menyediakan kemudahan pendidikan bagi melahirkan generasi graduan dari golongan tersebut, maka saya yakin rahmat Allah s.w.t. akan sentiasa melimpah berterusan kepada Tuan/Puan pemberi zakat yang telah menghulurkan zakat kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. 


Sebagai tambahan, MAIWP telah membina pusat-pusat hemodialisis, iaitu Pusat Dialisis MAIWP-PICOMS dimana akan menempatkan 12 mesin dialisis setiap pusat. Sesuai dengan matlamat PICOMS sebagai penyedia pendidikan, latihan dan perkhidmatan, kita telah memberikan kebenaran kepada PICOMS untuk menguruskan pusat-pusat ini. Buat masa ini, MAIWP masih bergantung kepada panel-panel pusat dialisis luar, dimana hampir 360 pesakit golongan asnaf setiap tahun menerima bantuan MAIWP, dengan kos perbelanjaan melebihi RM6juta setahun. Kos pembinaan setiap pusat dialisis adalah kira-kira RM1juta. Kita jangkakan, dengan adanya Pusat Dialisis MAIWP-PICOMS ini, kos perbelanjaan dapat dikurangkan serta dapat menampung lebih ramai lagi pesakit-pesakit baru dari golongan asnaf.  Apabila bilangan pelajar meningkat pada tahun-tahun akan datang, MAIWP akan membantu PICOMS dalam melaksanakan usaha-usaha pengembangan termasuk membantu menyediakan kemudahan infrastruktur pembinaan kampus baru dan ‘teaching hospital’ yang lebih selesa dan bertaraf dunia. 

Untuk berjaya sebagai penyedia sistem pendidikan & penjagaan kesihatan, PICOMS mesti berkembang di dalam semua aspek dan arah, merangkumi penjagaan pesakit, penyelidikan, perkhidmatan, serta latihan-latihan terkini untuk bakal-bakal doktor, jururawat, ahli farmasi, doktor gigi dan lain-lain.  Saya mengharapkan bakal graduan yang lahir dari PICOMS pada masa hadapan bukan sahaja mempunyai peribadi moral yang tinggi & hebat tetapi juga bertanggungjawab serta komited terhadap kerjaya masing-masing secara profesional. Lima tahun dari sekarang, saya amat yakin dan dapat bayangkan bahawa PICOMS ini akan berjaya dengan program-program baru pada semua peringkat, dengan kemudahan penyelidikan dan pembelajaran lebih baik tapi yang penting sekali kita dapat mewujudkan masyarakat yang mempunyai nilai moral, etika dengan pengetahuan tinggi berpaksikan prinsip-prinsip Islam, yang mana boleh dipraktikkan untuk kesejahteraan masyarakat dunia & Islam khasnya.   


Saya juga mengharap usaha perkembangan PICOMS untuk mendapat taraf Kolej Universiti akan tercapai dalam masa yang terdekat dan menjadikan PICOMS sebagai pilihan kolej universiti untuk pendidikan kepakaran & profesional dengan ‘standard’ yang relevan sebagai memenuhi jangkaan global tetapi tetap istiqamah berpegang kepada nilai etika kemurniaan Islam.Sekian, terima kasih.

 

“SELAMAT MAJU JAYA”

 

YB MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR B. HAJI BAHAROM 

Home

Message

About Us

Other Services

Media Gallery

Faculties

Calendar of Event

Contact Us

Library

MPP

Student Facilities